JOHOR BAHRU – “Kami hanya mampu duduk atas katil dua tingkat sambil berdoa agar air tidak naik lebih tinggi.”
Demikian detik-detik cemas yang dilalui suri rumah, Nurul Azwin Shafinar Mohd. Sabri, 38, bersama tiga anak, suami serta adiknya selepas mereka terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Pasir Tebrau, Bandar Dato’ Onn di sini, hari ini.
Menurut wanita itu, ketika kejadian, suaminya, Mohd. Fadzil Rasimin berada di Singapura atas urusan kerja. Dia tidak menyangka air naik dengan begitu pantas.
“Pada pukul 10 pagi, paras air hanya setakat buku lali, jadi saya sangka ia akan surut seperti sebelum ini. Namun, hujan lebat tanpa henti menyebabkan air naik secara mendadak.
“Dalam keadaan panik, saya segera menghubungi suami yang kemudian bergegas pulang, tetapi keadaan air yang deras menyebabkan kami tidak dapat keluar,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara, di sini.
Keadaan bertambah buruk apabila paras air mencecah siling rumah memaksa mereka berlindung di atas katil dua tingkat bagi mengelak dihanyutkan arus deras.-KOSMO! ONLINE