JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di negeri ini bertambah buruk setelah jumlah mangsa banjir di negeri meningkat lebih dua kali ganda kepada 2,550 penduduk daripada 707 keluarga setakat pukul 4 petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan ketara berbanding 1,048 mangsa daripada 308 keluarga pada 12 tengah hari tadi.
Katanya, daerah Kota Tinggi dan Kluang menjadi daerah terbaru dilanda banjir menjadikan lima daerah di Johor dilanda banjir termasuk Johor Bahru, Kulai dan Pontian.
“Johor Bahru kekal sebagai daerah paling teruk terjejas dengan seramai 784 penduduk daripada 202 keluarga ditempatkan di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu.
“Kota Tinggi turut merekodkan jumlah mangsa banjir yang tinggi dengan seramai 729 penduduk daripada 197 keluarga yang dipindahkan ke 11 PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, jumlah mangsa banjir di Kulai turut melonjak hampir kepada 506 penduduk daripada 159 keluarga di lima PPS.
Katanya, jumlah mangsa banjir di Pontian meningkat lebih tiga kali ganda kepada 495 penduduk daripada 138 keluarga di 11 PPS.-KOSMO! ONLINE