KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan wakil syarikat Klickl yang beroperasi dalam bidang kewangan dan aset berasaskan teknologi ‘blockchain’ (teknologi blok rantaian).
Anwar dalam satu catatan di Facebook berkata, pertemuan tersebut membincangkan perkembangan terkini teknologi ‘blockchain’ di peringkat antarabangsa, termasuk model dan peraturan yang boleh dijadikan rujukan bagi memperkukuh kerangka Malaysia dalam bidang ini.
“Kami membincangkan berkenaan perkembangan terkini teknologi ini di peringkat antarabangsa termasuk berkenaan dengan kerangka model dan peraturan yang boleh dijadikan contoh oleh Malaysia dalam menambah baik kerangka kita yang tersendiri,” katanya.
Menurut Anwar, Malaysia memiliki potensi besar dalam teknologi blockchain yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai sektor termasuklah bidang perkhidmatan kerajaan dan industri halal, bukan hanya terhad kepada kewangan serta aset digital.
“Dalam konteks yang sama, saya tekankan kepentingan membangunkan bakat tempatan dalam sektor ini supaya pelaburan dalam sektor ini dapat memanfaatkan rakyat Malaysia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE