KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk diedarkan kepada komuniti setempat dan orang ramai di Kuala Lumpur dan Putrajaya menerusi Program Santun Ramadan 2025.
Agihan bubur lambuk itu adalah anjuran Alam Flora Environmental Solutions (AFES), anak syarikat milik penuh Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) di bawah naungan Malakoff Corporation Berhad (Malakoff).
Ketua Pegawai Operasi AFES, Azral Sufian berkata, bubur lambuk tersebut dimasak secara bergotong-royong dengan kerjasama Surau Ibrahimiah, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur bermula pukul 10 pagi tadi.

Katanya, agihan dibuat di empat tempat iaitu di Pusat Kitar Semula Pandu Lalu AEON BiG Wangsa Maju, Surau Ibrahimiah, Pusat Kitar Semula Jalan Bunus Kuala Lumpur serta Pusat Kitar Semula Komuniti Presint 9 Putrajaya.
“Sambutan diterima juga tinggi terutama daripada komuniti setempat dan jiran-jiran di sekitar Wangsa Maju.
“Agihan bubur lambuk ini merupakan acara tradisi tahunan AFES dan akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya kepada media selepas agihan bubur lambuk di Pusat Kitar Semula Pandu Lalu AEON BiG Wangsa Maju di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr. Umi Ahmad.
Azral berkata, Program Santun Ramadan 2025 bukan sahaja bertujuan menghidupkan semangat Ramadan, malah memberi peluang kepada golongan muda mengenali dan menghargai makanan warisan tempatan.
Katanya, AFES akan terus komited dalam melaksanakan inisiatif kelestarian, menyumbang kepada pengurusan alam sekitar yang lebih baik dan memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat setempat melalui program seumpama ini.
Menerusi penganjuran Program Santun Ramadan 2025, AFES memperkenalkan Recovery Initiative Sustainable Eco-Facility Kuala Lumpur (RISE KL) iaitu sebuah pusat pemerolehan bahan kitar semula dan fasiliti Material Recovery Facility (MRF) kepada DBKL sekali gus langkah meningkatkan kesedaran masyarakat kepentingan kitar semula.
Ia juga memperkasa pengurusan sisa mampan di ibu negara, sejajar dengan aspirasi kerajaan menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya rendah karbon dan lestari. – KOSMO! ONLINE