KUALA LUMPUR – Sebanyak sembilan kes sorok minyak masak bersubsidi direkodkan dengan jumlah rampsan sebanyak 3,655 kilogram sejak 1 Januari 2024 hingga 18 Mac lepas.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, jumlah keseluruhan kesalahan berkaitan minyak masak yang telah diambil tindakan adalah sebanyak 605 kes.
Jelasnya, meskipun isu sorok minyak masak sering menjadi perhatian, namun statistik menunjukkan bahawa ia bukan penyumbang utama kepada masalah bekalan di pasaran.
“Sebaliknya, kes penyelewengan minyak masak yang merangkumi pelbagai bentuk penyalahgunaan, termasuk pengalihan subsidi kepada pihak tidak layak, mempunyai impak jauh lebih besar,” katanya pada sesi Dewan Negara, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) memperuntukkan tindakan terhadap kes menyeleweng atau menyalahgunakan barang kawalan, seperti memindahkan minyak masak bersubsidi ke dalam botol untuk dijual pada harga lebih tinggi di pasaran terbuka.
Mengulas lanjut, Fuziah menegaskan kementerian memberi tumpuan kepada penguatkuasaan menyeluruh, bukan hanya terhadap kes penyorokan di bawah Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961, termasuk terhadap pelbagai bentuk manipulasi bekalan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Langkah ini penting bagi memastikan bekalan minyak masak yang disubsidikan oleh kerajaan sampai kepada golongan sasar dan tidak disalahgunakan untuk keuntungan pihak tertentu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Salehuddin Saidin yang meminta Menteri KPDN menyatakan jumlah individu terlibat dalam menyorok minyak masak paket telah dikenakan tindakan undang-undang setakat ini dan adakah kegiatan menyorok ini menjejaskan golongan sasar B40. – KOSMO! ONLINE