PUTRAJAYA – Seramai 22,351 daripada 236,986 calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2024 berjaya mencatat keputusan cemerlang A bagi semua sembilan mata pelajaran.
Mata pelajaran itu ialah al-Quran, Akidah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Bahasa Arab, Ibadah, Penghayatan Cara Hidup Islam serta Amali Solat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, secara keseluruhannya, 99.9 peratus calon mencatat keputusan lulus semua mata pelajaran.
Beliau berkata, pencapaian Gred Purata Skor (GPS) UPKK secara keseluruhan pula menunjukkan peningkatan dengan memperoleh nilai indeks GPS lebih kecil iaitu 1.85 berbanding 1.89 tahun sebelumnya.
“Selain itu, seramai 19,007 calon memperoleh 8A, manakala, 17, 287 calon mendapat 7A dan 16,990 calon pula memperoleh 6A.
“Alhamdulillah, UPKK tahun 2024 menunjukkan peningkatan daripada semua aspek termasuk dari sudut mata pelajaran dan skor,” katanya pada majlis pengumuman UPKK 2024, di sini hari ini.
Katanya, sejumlah 236,986 calon yang hadir untuk menduduki UPKK 2024 berbanding 230,857 semasa UPKK Tahun 2023.
Mohd. Na’im berkata, beliau berharap jumlah kehadiran calon ini dapat ditingkatkan bagi UPKK 2025 kerana itu dapat menggambarkan tahap keyakinan calon-calon.
Dalam pada itu, katanya, UPKK 2024 mengguna pakai format instrumen baru dengan beberapa mata pelajaran dipinda.
Mata pelajaran UPKK O01 al-Quran dan UPKK 04 Adab telah dipinda daripada dua kertas peperiksaan kepada satu kertas peperiksaan sahaja.
Mata pelajaran Ulum Syariah pula telah dipinda kepada dua mata pelajaran berbeza iaitu UPKK 02 Akidah dan UPKK 07 Ibadah menjadikan sembilan mata pelajaran bagi UPKK Tahun 2024.
Selain itu, wajaran bagi mata pelajaran UPKK 01 al-Quran juga telah dipinda kepada 80 markah dan mata pelajaran bagi ujian bertulis dipinda kepada 70 markah semuanya.
Masa peperiksaan bagi ujian bertulis juga telah dikaji semula dengan pindaan kepada 1 jam dan 15 minit sahaja mengikut kesesuaian calon di peringkat sekolah rendah. – KOSMO! ONLINE