PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ebit Lew, mendakwa akaun TikTok miliknya yang mempunyai 6.7 juta pengikut telah disekat dan tidak lagi muncul dalam senarai carian sejak malam tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Ebit Lew, yang juga seorang usahawan, kelihatan sedih akibat kehilangan akaun yang digunakan bagi menyebarkan bantuan kemanusiaan dan perkongsian dakwah.
Dalam pada itu, Ebit Lew turut meminta orang ramai untuk mengikuti akaun baharunya di TikTok, @ebitlewlive.
“TikTok saya yang mempunyai 6.7 juta pengikut telah disekat. Hilang terus, tak boleh tengok lagi. Follow ya akaun baharu saya,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat kepada beliau.
“Jangan sedih… Allah sayang, sebab itu Allah bagi dugaan. Insya-Allah, Allah akan ganti dengan sesuatu yang lebih baik,” ujar Mjeffri Ibss.
“Semoga Allah permudahkan urusan ustaz… Ujian tanda Allah sayang,” komen Dya Shim.
“Insya-Allah, semoga mendapat gantian yang lebih baik. Aamiin,” balas Aqilah Qairina.
Carian Kosmo! juga mendapati akaun TikTok Ebit Lew masih tidak muncul dalam senarai carian sehingga pagi ini.
Sementara itu, beberapa akaun TikTok pempengaruh dan artis terkenal seperti Fahmi Reza, Uyaina Arshad, dan Reen Rahim juga pernah disekat sebelum ini. – KOSMO! ONLINE