PETALING JAYA – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang memberi amaran tegas sebarang kenyataan atau tindakan yang menyentuh sensitiviti agama lain akan dikenakan tindakan tanpa kompromi oleh pihak penguat kuasa.
Amaran itu ditegaskan Aaron berikutan tular di media sosial mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh individu bernama Khor Soon Keat dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW.
Katanya, tindakan berkenaan tidak boleh diterima sama sekali.
“Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian agama dan budaya. Setiap individu wajib menghormati dan menjaga sensitiviti agama masing-masing.
“Tindakan menghina mana-mana agama bukan sahaja mencabuli prinsip keharmonian dan perpaduan negara, tetapi juga boleh mengundang akibat yang sangat serius kepada keamanan dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang cuba menimbulkan perpecahan dan ketegangan antara kaum serta agama.
“Saya berharap agar Polis Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dapat menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan yang tegas dengan segera,” katanya.
Dalam pada itu, Aaron turut menyeru rakyat Malaysia agar terus menghormati kepelbagaian yang ada serta mengekalkan keharmonian negara.
“Marilah kita semua hidup dalam suasana yang penuh hormat dan saling memahami, demi menjaga keamanan dan keharmonian negara yang kita cintai ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE