fbpx

‘Tak pernah paksa ceraikan madu, itu keputusan suami sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Madu Nora iaitu Rose akhirnya bersuara menjelaskan keadaan sebenar melibatkan kemelut antaranya dan penyanyi tersebut.

PETALING JAYA – Lama berdiam diri, akhirnya madu kepada penyanyi Nora iaitu Rose Aliza Sutrisno tampil menjelaskan situasi sebenar selepas namanya dan keluarga dikaitkan dengan dakwaan dia serta anak memaksa suaminya menceraikan penyanyi tersebut.

Menerusi satu kenyataan panjang lebar dalam Facebook, Rose mendedahkan bahawa keputusan perceraian itu dibuat atas pertimbangan suaminya Rushdi Ramli sendiri, bukan atas desakan sesiapa termasuk mereka.

“Selama ini, saya memilih untuk berdiam diri ketika diri saya diperkatakan secara salah di media sosial kerana tidak mahu membuka aib sesiapa.

“Apabila keluar kenyataan saya dan anak (Alia) memaksa suami menceraikan madu, saya dengan berat hati tampil menjelaskan keadaan sebenar.

“Tulisan-tulisan saya yang dimuat naik oleh madu saya (sebelum ini) sebenarnya adalah luahan saya ketika berdepan satu situasi yang amat tidak saya duga – iaitu saat saya mengetahui suami saya telah berkahwin secara senyap-senyap tanpa pengetahuan saya.

“Saya atau anak saya, Alia tidak pernah memaksa suami saya menceraikan madu saya. Keputusan yang dibuat ketika itu adalah atas pertimbangan dan kehendak suami sendiri setelah melalui apa yang berlaku,” coretnya.

Jelas Rose lagi yang bekerjaya sebagai seorang pengetua sekolah, terdapat seorang individu yang rapat dengan suaminya, (individu itu kini sudah meninggal dunia), merayu agar suaminya menceraikan isteri kedua atas sebab-sebab tertentu.

“Suami akhirnya akur dengan permintaan individu itu dan melafazkan talak di hadapan madu dan anak-anaknya, termasuk arwah Alif.

“Lafaz itu juga dirakam atas permintaan individu itu. Kejadian berlaku pada tahun 2019. Malangnya, video yang sepatutnya disimpan dimuat naik pada 12 Ogos 2024,” tulisnya.

Dalam pada itu, Rose turut menafikan dakwaan kononnya wujud panggilan telefon daripadanya atau sesiapa selepas solat Subuh yang memaksa suaminya menceraikan isteri kedua, seperti yang tersebar dalam media sosial.

Anaknya iaitu Alia juga tidak pernah terbabit dalam proses atau sebarang tindakan perceraian itu.

Menurutnya, tulisan anaknya kepada madu pada tahun 2020 memang agak keterlaluan, namun ditulis dalam keadaan emosi seorang anak yang kecewa kerana ayahnya berkahwin lagi tanpa pengetahuan keluarga.

“Alia menyedari kesilapannya dan memohon maaf secara peribadi kepada madu saya pada September 2020.

“Namun, tulisan yang sudah lama dipadam itu dikitar semula oleh madu saya (Nora) pada tahun 2025 dan dibiarkan menjadi bahan spekulasi, mencetuskan persepsi buruk seolah-olah anak saya seorang yang tidak beradab,” tulisnya.

Hari ini, Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Wan Ariffin, 52, memuat naik hantaran gambar papan tanda Mahkamah Rendah  Syariah Hulu Langat dan kenyataan mengenai permohonan cerai kepada suaminya, Rushdi Ramli bukan atas kehendak hatinya sendiri.

Dalam hantaran terbaharu Instagram, Nora berkata, keputusan itu dibuat bagi menunaikan hajat isteri pertama suaminya serta desakan daripada anak mereka.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI