HULU TERENGGANU – Seorang lagi peniaga mendakwa menjadi mangsa sindiket penipuan menawarkan tender kerajaan kononnya membekalkan stesen kuasa mudah alih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, pada mulanya, mangsa berusia 57 tahun telah dihubungi suspek yang mengaku wakil JKM Besut pada 10 Mac lalu.
“Suspek berpura-pura meminta sebut harga perabot kononnya untuk dibekalkan kepada JKM Besut sebelum menawarkan projek pembekalan power station portable Delta Pro 4 juga kepada agensi sama.
“Dia memberitahu kononnya mahu ia dibekalkan segera sebelum memberi nombor telefon pembekal bagi membolehkan mangsa melakukan rundingan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau berkata, peniaga itu kemudiannya membuat pembayaran tempahan stesen kuasa mudah alih berkenaan berjumlah
RM78,988 menerusi enam transaksi ke akaun bank diarahkan sebelum menyedari dirinya telah ditipu. – KOSMO! ONLINE