SHAH ALAM – Pelakon Harissa Adlynn berharap pendedahannya mengenai pernah diganggu aktor senior miang sebelum ini menjadi asbab buat pendatang baharu lain berani bersuara sekiranya berdepan perkara sama.
Menurut Harissa, 22, pada awalnya dia hanya berkongsi selepas ditanya pihak media namun tidak menyangka isu tersebut menjadi bualan ramai dalam media sosial.
“Saya bukan mereka-reka cerita dan hanya menjawab soalan yang diberikan pihak media.
“Malah, tiada niat pun nak kongsi dan tak sangka isu itu jadi besar seperti sekarang.
“Namun, benda sudah jadi dan mungkin isu tersebut dapat buka mata pihak lain serta buat pelakon baharu lain berani untuk lakukan perkara sama (bersuara),” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis berbuka puasa Asia di sini, baru-baru ini.
Bintang drama Calar Cinta itu bagaimanapun tidak terlepas daripada menjadi mangsa kecaman netizen susulan pendedahannya itu.
“Setakat ini, rakan artis atau kru produksi tak pernah pun bercakap dan mempersoalkan tentang perkara tersebut kepada saya.
“Namun saya baca komen netizen, ada juga cakap saya acah-acah, sengaja buat cerita dan mempertikai baju saya pakai.
“Hakikatnya, saya kalau berada di set penggambaran memang akan pakai baju yang sesuai,” ujarnya.
Dalam masa sama, Harissa berkata, beberapa selebriti lain juga pernah berkongsi pengalaman sebegitu kepadanya sebelum ini.
Dia juga berharap pendedahan tersebut dapat menjadikan industri hiburan tanah air lebih selamat dan tiada lagi gangguan yang tak sepatutnya berlaku terhadap anak seni.
“Ada juga artis lain kongsi perkara sama dengan saya. Bukan mudah sebenarnya untuk buka tentang hal ini kepada orang lain.
“Selepas pendedahan itu, saya akan lebih berhati-hati dalam menjaga diri.
“Kalau ada yang melalui hal sama, bersuaralah sebab boleh bantu orang lain juga.
“Lebih baik lakukan sesuatu untuk bantu industri seni menjadi tempat yang selamat untuk semua orang,” jelasnya.
Terdahulu, Harissa pada Disember lalu mengakui pernah diganggu lelaki miang termasuklah aktor yang sudah memiliki cucu.
Katanya, kejadian itu berlaku sewaktu mereka sama-sama terlibat dalam penggambaran sebuah drama. – KOSMO! ONLINE