KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 yang mewajibkan pendidikan sehingga peringkat menengah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia kerana pendekatan utama yang diambil adalah advokasi, kesedaran serta tanggungjawab bukan hukuman.
Beliau menegaskan bahawa undang-undang hanya akan digunakan sebagai jalan terakhir selepas semua usaha lain dijalankan.
“Undang-undang ini bukan untuk menghukum. Apa yang lebih penting adalah usaha advokasi, kesedaran dan memastikan tanggungjawab pihak kerajaan dalam menyediakan akses serta bantuan pendidikan berjalan lancar terlebih dahulu.
“Kita mahu memastikan semua ini berfungsi dahulu sebelum undang-undang mengambil tempat, sekiranya terdapat kecuaian atau kelompongan dalam sistem,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Libat Urus RUU Pendidikan (Pindaan) 2025: Pelanjutan Dasar Pendidikan Wajib dari Pendidikan Rendah hingga Pendidikan Menengah di sini, hari ini.
Ujarnya, antara langkah utama yang dilaksanakan bagi menangani isu keciciran ialah program Ziarah Cakna membabitkan lawatan ke rumah pelajar yang tidak hadir ke sekolah.
“Kita telah melihat data kehadiran dan mengenal pasti pelajar yang kerap tidak hadir. Melalui program ini, guru dan pegawai KPM turun padang untuk bertemu keluarga pelajar bagi memahami punca sebenar mereka tidak hadir.
“Ada kes di mana guru perlu mengetuk pintu rumah, malah membangunkan pelajar yang masih tidur pada pukul 11 pagi. Ini menunjukkan bahawa masih ada keperluan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan,” jelasnya.
Menurut beliau, sistem pemantauan kehadiran pelajar telah diperkukuh melalui Sistem Kehadiran Murid (NPR) yang membolehkan pihak sekolah mengesan pelajar yang kerap tidak hadir dengan lebih spesifik.
Fadhlina turut mengakui bahawa faktor ekonomi sering menjadi alasan ibu bapa tidak menghantar anak ke sekolah khususnya dalam keluarga yang bergantung kepada anak untuk membantu mencari pendapatan.
Menurut Fadhlina, pindaan RUU ini akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang dengan harapan ia dapat menjadi satu rangka kerja kukuh dalam memastikan tiada lagi kanak-kanak yang tercicir daripada sistem pendidikan negara.
“Ini bukan sekadar soal undang-undang, tetapi satu ekosistem yang melibatkan semua pihak ibu bapa, komuniti, pihak sekolah dan kerajaan untuk memastikan hak pendidikan setiap kanak-kanak terjamin,” katanya. – KOSMO! ONLINE