JOHOR BAHRU – Seorang lelaki berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM539,647 lesap gara-gara terjerat pelaburan saham tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa berusia 49 tahun itu mula terperdaya dengan aktiviti ‘scammer’ itu selepas melihat iklan pelaburan saham di TikTok pada Oktober 2023.
Menurutnya, lelaki tempatan itu kemudian berhubung dengam seorang individu yang bernama Alicia Goh.
“Mangsa ditawarkan pelaburan saham dan dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp sebelum diminta memuat naik aplikasi Silegx untuk melihat keuntungan pelaburan daripada pelabur terdahulu yang mencecah AS$1.1 juta (RM4.8 juta).
“Mangsa yang termakan helah itu melakukan sebanyak 10 transaksi ke dalam lima akaun bermula 8 November 2024 hingga 3 Januari lalu dengan modal pelaburan RM539,647,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Balveer memberitahu, mangsa menyedari dia ditipu selepas diminta membuat pembayaran tambahan sekiranya mahu mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan.
Mangsa kemudian membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu. – KOSMO! ONLINE