KUALA LUMPUR – Pemprosesan permohonan kewarganegaraan Malaysia termasuklah pemain bola sepak atau atlet dari bidang lain dilaksanakan berdasarkan perundangan yang berkuat kuasa.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, permohonan kewarganegaraan oleh warga asing adalah melalui proses naturalisasi di bawah Perkara 19, Perlembagaan Persekutuan dan tertakluk kepada syarat serta peruntukan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 [L.N.82/1964].
Ujarnya, ia termasuklah perundangan berkaitan seperti pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak, dan peraturan imigresen.
Shamsul berkata, setiap permohonan akan dipertimbangkan berdasarkan merit individu serta sumbangan signifikan yang boleh diberikan kepada negara.
“Syaratnya, pemohon memenuhi semua keperluan perundangan yang ditetapkan, terutamanya di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan.
“Iaitu memperincikan syarat serta kelayakan sebelum seseorang individu boleh dipertimbangkan untuk dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia,” katanya pada sesi Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Setia Salehuddin Saidin yang mengemukakan soalan mengenai kriteria pemberian status warganegara Malaysia kepada pemain-pemain bola sepak dibawa dari luar negara.
Sementara itu, Shamsul juga berkata pemberian kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi yang tidak diberikan dengan sewenang-wenangnya.
“Justeru, setiap keputusan dibuat secara berhati-hati, dan berhemah dengan mengambil kira kepentingan negara.” katanya. – KOSMO! ONLINE