fbpx

Negara rugi RM933.4 juta akibat banjir tahun lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Jumlah keseluruhan kerugian akibat banjir pada 2024 dianggarkan bernilai RM933.4 juta dengan Kelantan, Kedah dan Terengganu merupakan negeri yang paling terjejas.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah itu bersamaan 0.05 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal.

Katanya, kerugian terbesar dicatatkan bagi tempat kediaman melonjak kepada RM372.2 juta berbanding RM168.3 juta pada 2023 diikuti aset awam dan infrastruktur sebanyak RM303.4 juta.

Kerugian sektor pertanian turut meningkat kepada RM185.2 juta, berbanding RM120.6 juta pada 2023, manakala premis perniagaan pula mencatatkan kerugian RM54.1 juta.

“Kerosakan kenderaan pula berjumlah RM17.3 juta, manakala sektor pembuatan mencatatkan kerugian paling kecil iaitu RM1.2 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Uzir berkata, Kelantan mencatatkan kerugian terbesar sebanyak RM139.0 juta, diikuti Terengganu (RM103.1 juta) dan Kedah (RM54.0 juta).

Di Kelantan, daerah paling terjejas ialah Pasir Mas yang merekodkan kerugian RM46.2 juta, diikuti Tumpat (RM31.7 juta) dan Kota Bharu (RM19.2 juta).

Di Terengganu, Besut merekodkan kerugian tertinggi bagi tempat kediaman berjumlah RM38.4 juta, diikuti Setiu (RM16.1 juta) dan Kemaman (RM14.2 juta).

“Bagi Kedah, Kota Setar dan Kubang Pasu mencatatkan kerugian tertinggi masing-masing RM22.0 juta dan RM9.4 juta, diikuti Baling dengan RM6.9 juta,” ujarnya.

Menurut Mohd. Uzir, Kelantan menanggung kerugian premis perniagaan terbesar berjumlah RM27.1 juta, diikuti Terengganu (RM16.4 juta) dan Kedah (RM4.3 juta).

Di Kelantan, Pasir Mas dan Kota Bharu mengalami impak kewangan yang paling ketara dengan kerugian RM9.8 juta, manakala Tumpat pula kerugian RM5.0 juta.

“Di Terengganu, Besut merekodkan kerugian tertinggi sebanyak RM6.4 juta, diikuti Setiu (RM2.9 juta) dan Dungun (RM1.9 juta).

“Sementara itu, di Kedah, Kota Setar merekodkan kerugian tertinggi sebanyak RM2.8 juta, diikuti Baling dan Pokok Sena, masing-masing RM0.8 juta dan RM0.4 juta,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata Terengganu mencatatkan kerugian kerosakan kenderaan tertinggi berjumlah RM5.8 juta, diikuti dengan Kelantan sebanyak RM4.0 juta dan Kedah sebanyak RM2.1 juta.

Ujar beliau, di Terengganu, daerah yang paling terjejas ialah Besut (RM1.4 juta), diikuti dengan Kemaman (RM1.0 juta), dan Dungun (RM0.8 juta).

“Bagi Kelantan, Tumpat merekodkan kerugian kenderaan tertinggi berjumlah RM1.8 juta, diikuti Pasir Mas (RM1.0 juta) dan Kota Bharu (RM0.5 juta). Sementara itu, di Kedah, Kota Setar mengalami kerugian tertinggi sebanyak RM0.9 juta, diikuti Pokok Sena (RM0.5 juta) dan Baling (RM0.3 juta),” katanya.

Bagi sektor pembuatan, Mohd. Uzir berkata, Kelantan mencatatkan kerugian sebanyak RM1.1 juta, dengan Pasir Mas mengalami impak tertinggi berjumlah RM1.0 juta, manakala Pasir Puteh dan Tumpat merekodkan kerugian lebih rendah, masing-masing di bawah RM100,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI