PARIS – Selepas enam bulan disisihkan, penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe akhirnya kembali dipanggil menyertai skuad kebangsaan Perancis bagi menghadapi Liga Negara-Negara Eropah (UNL).
Skuad Les Bleus memanggil pemain-pemain terbaiknya menjelang aksi penting menentang Croatia pada suku akhir pertama UNL yang dijadualkan berlangsung di Stadium Poljud awal pagi Jumaat nanti.
Jurulatih Perancis, Didier Deschamps berkata, beliau sentiasa mengagumi aksi ditampilkan Mbappe biarpun ada desas-desus yang mendakwa kedua-dua individu itu memiliki krisis cukup besar.
Beliau turut menjelaskan, bekas penggempur Paris Saint-Germain (PSG) itu akan diberikan lilitan kapten bagi mengetuai pasukan biarpun sudah lama tidak menyarung jersi juara Piala Dunia tiga kali itu.
“Saya sentiasa katakan bahawa pasukan ini akan menjadi lebih kuat dengan kehadiran Mbappe. Kami berdua sudah pun bercakap dan seperti yang diberitahu sebelum ini, dia akan diberikan lilitan kapten,” kata Deschamps.
Difahamkan, pemain berusia 27 tahun itu dipanggil menyertai Les Bleus kerana Deschamps terpukau dengan aksi ditampilkan bersama Real musim ini selepas meledak 20 gol La Liga dengan keseluruhan 31 gol dalam semua kejohanan.
“Saya tahu perpindahan Mbappe ke Real menyebabkan orang ramai meletakkan harapan menggunung kepadanya. Bagaimanapun, dia masih mampu beraksi dengan baik menerusi angka jaringan yang dilakukan,” ujar Deschamps. – AGENSI