LA PAZ, Bolivia – Sejumlah mayat tercampak keluar dari sebuah perkuburan haram dalam kejadian tanah runtuh di Bolivia, lapor akhbar Metro UK semalam.
Hujan lebat melanda kawasan pergunungan selatan La Paz, sehingga menyebabkan keranda ‘berjuntai’ di tebing curam akibat tanah runtuh.
Terdapat kebimbangan bahawa mayat-mayat yang baru ditanam boleh menyebabkan bekalan air tempatan di Ovejuyo tercemar.
Setakat ini, tidak diketahui jumlah jasad yang terjejas dalam kejadian itu.
Pengarah tanah perkuburan di bandar itu, Erike Endara berkata, tanah perkuburan tersebut beroperasi secara haram.
“Ia tidak mempunyai lesen alam sekitar yang merupakan satu keperluan penting untuk tanah perkuburan beroperasi,” katanya. – AGENSI