PETALING JAYA – Amaran kategori pertama angin kencang dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter (m) dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah Barat dan Labuan sehingga Jumaat ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataan berkata, angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran kenaikan paras laut yang berisiko membawa limpahan air laut di pesisir pantai dijangka melanda kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sarawak Barat.
Bagi cuaca terkini, MetMalaysia memaklumkan ribut petir dan hujan lebat dijangka melanda kawasan perairan Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sarawak, Sabah sehingga 1 tengah hari ini.
“Cuaca buruk ini boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5m dan berbahaya kepada bot-bot kecil,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE