PETALING JAYA – Curahan kasih sayang seorang wanita berbangsa India terhadap anak angkatnya, Muhammad Adam Mikhael, 2, membuktikan perbezaan bangsa dan agama bukanlah penghalang kepada satu hubungan yang erat.
Tautan kasih antara Banupiriya, 30, yang mesra dipanggil Amma dengan Muhammad Adam terjalin sejak kanak-kanak itu berusia tiga bulan sebelum kedua-dua mereka terpaksa berpisah tiga bulan selepas itu.
Biarpun berpisah, namun ia sedikit pun tidak memudarkan kasih sayang dan ingatan Amma terhadap Muhammad Adam yang dipanggil Aboi.
Shaidatul Naqiyah Mohamad Abdullah, 26, berkata, Amma hanya sempat menjaga anaknya tiga bulan sebelum mereka berpindah kerana masalah peribadi dan dia memilih untuk menjaga anaknya sendiri.
“Ketika itu, Amma cari saya merata tempat. Dia mesej, telefon. Mesej saya di Facebook sebab rindu nak berjumpa dengan Aboi (Adam) semula. Masa tu memang saya rasa serba salah sebab dia yang jaga anak dari kecil.
“Selepas enam bulan, ketika usianya (Muhammad Adam) nak masuk setahun, barulah mereka dipertemukan semula. Amma kata dekat saya ‘jangan pisahkan dia (Muhammad Adam) dari kami, kami semua sayang Adam’.
“Anak saya juga gembira sangat-sangat, dan sampai sekarang selesa duduk rumah Amma Appa dia. Seminggu sekali mesti duduk sana, sampai dah reti cakap Bahasa Tamil,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bercerita lanjut, Shaidatul Naqiyah berkata, dia sebelum ini ada mengiklankan mencari pengasuh untuk Muhammad Adam di Facebook sebelum Amma menawarkan khidmat menjaga anaknya.
“Selepas iklan, Amma terus mesej kata dia sudi nak jaga anak saya. Masa tu was-was sebab berlainan agama dan bangsa. Tapi Amma pun yakinkan saya selain mengatakan rumah mereka sangat bersih serta hormat agama kita,” katanya.
Menurutnya, perkahwinan Amma bersama suaminya, Appa (Gunaseelan), 30, dikurniakan tiga cahaya mata, namun kesemuanya perempuan membuatkan pasangan itu mencurahkan kasih sayang sepenuhnya terhadap Adam.
“Amma dan Appa pun tiada anak lelaki, dan mereka sangat teringin nak anak lelaki. Sampai Amma kata ‘dia satu-satunya anak lelaki saya akak’, saya doakan agar Amma dapat baby boy cepat, boleh Adam ada geng lepas ini,” ujarnya.
Terdahulu, video dimuat naik Shaidatul Naqiyah tular di media sosial sehingga mendapat lebih tiga juta tontonan.
Ramai pengguna menyifatkan video tersebut sangat menyentuh hati ekoran keakraban yang terbina antara dua insan itu.
Shaidatul Naqiyah berharap video tularnya itu dapat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan hidup harmoni walaupun berbeza agama dan bangsa.
“Bila video saya tular, rupanya lagi ramai yang pernah hantar anak kepada pengasuh berbeza agama dan ada sememangnya dibesarkan dalam keluarga berbeza agama,” katanya.