BATU PAHAT – Seorang pekebun sawit dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh kekasih gelap yang juga jirannya dengan cara membakar rumah di Kampung Baru Sri Gading, di sini, awal bulan ini.
Tertuduh, Mohammad Firdaus Baktehir, 29, hanya tunduk dan kelihatan tenang selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Das.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, pekebun itu didakwa membunuh mangsa berusia 31 tahun, pada pukul 5 petang, 8 Mac lalu di Kampung Baru Sri Gading.
Oleh itu, Mohammad Firdaus didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syeikh Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan tarikh 24 April ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan forensik. – KOSMO! ONLINE