MELBOURNE – Pelumba Red Bull, Max Verstappen melancarkan perang psikologi apabila mendedahkan bahawa pencabar kejuaraan dunia musim ini, Lando Norris memiliki perasaan gementar ketika mendahului pada penghujung perlumbaan.
Pada Grand Prix Australia Sabtu lalu menyaksikan pelumba McLaren itu muncul juara pada aksi pembukaan musim ini, namun Verstappen hampir melakar kejutan dengan ‘mencuri’ kemenangan apabila Norris melakukan kesilapan.
Norris yang mendahului perlumbaan pada awalnya, melihat jurang dengan Verstappen mengecil kepada 0.6 saat dalam dua pusingan terakhir, tetapi berjaya bertahan untuk menamatkan perlumbaan 0.895 saat di hadapan juara dunia empat kali itu.
Sejurus selepas perlumbaan, Verstappen mendedahkan bahawa Norris telah melakukan sedikit kesilapan kerana perasaan gementar sekali gus memberinya peluang untuk mendekat dan memberikan asakan.
“Lando (Norris) melakukan sedikit kesilapan di Selekoh 6, jadi dia kehilangan banyak momentum dan itulah sebabnya saya dapat mendekat,” katanya.
Verstappen turut mengakui jentera RB21 Red Bull tidak sepantas McLaren dalam perlumbaan tersebut menyebabkan dia berdepan kesukaraan untuk mengejar dan memintas Norris sepanjang perlumbaan. – AGENSI