KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menegaskan lagu raya terbaharunya, Raya Nak Ke Mana? bukan bertujuan bersaing dengan penyanyi lain, sebaliknya sekadar mahu memeriahkan suasana Aidilfitri.
Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, menyedari peminat mempunyai ekspektasi tinggi terhadap karyanya memandangkan lagu-lagu rayanya terdahulu seperti Sesuci Lebaran dan Anugerah Aidilfitri kekal malar hijau hingga kini.
“Saya bukan mahu bersaing, sekadar ingin memeriahkan suasana. Mungkin sebab saya nampak senior sikit.
“Lagu-lagu raya saya sebelum ini menjadi siulan, jadi ekspektasi orang terhadap lagu baharu ini tinggi.
“Tapi di hati saya, bukan niat untuk bersaing dengan anak-anak muda. Mereka ada kelebihan sendiri, saya cuma mahu kekalkan konsep lagu raya seperti sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pelantun Sehebat Matahari itu juga meluahkan rasa bangga melihat semakin ramai penyanyi tampil dengan lagu raya masing-masing untuk sambutan Aidilfitri tahun ini.
Menurutnya, situasi ini membuktikan industri muzik tempatan semakin berkembang dan memberi lebih banyak pilihan kepada pendengar.
“Bagus apabila ramai artis hasilkan lagu raya. Dulu tak semeriah sekarang, tetapi kini kita ada banyak pilihan.
“Ini juga membuktikan penyanyi tempatan semakin kreatif dan mahu memeriahkan Aidilfitri dengan lagu baharu.
“Peminat juga ada lebih banyak pilihan dengan pelbagai genre muzik,” ujarnya.
Raya Nak Ke Mana? merupakan hasil ciptaan penyanyi Aisha Retno dan RADi, diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd. serta Universal Music Sdn. Bhd.
Lagu berentak zapin ini mengembalikan nostalgia lagu raya klasik yang pernah dinyanyikan oleh Siti sebelum ini.
Selain Raya Nak Ke Mana?, penyanyi tersohor itu turut popular dengan beberapa lagu raya ikonik seperti Nazam Lebaran dan Lip Lap Raya. – KOSMO! ONLINE