JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun didakwa dipukul dengan menggunakan tangan serta dilempang dua kali menyebabkan kepala mangsa terhantuk di dinding sekolah di Jalan Abdul Rahman, di sini tengah hari tadi.
Menurut pengadu, Muhammad Nazirul Ekhmal Zairudin, 24, dia ternampak kejadian yang berlaku pada pukul 12.50 tengah hari ketika mahu mengambil anak jagaan pusat perlindungan di sekolah itu.
Katanya, dia melihat suspek memukul anak jagaannya bernama setelah mendakwa mangsa mengganggu anaknya.
“Saya nampak lelaki itu memukul anak jagaan saya menggunakan tangan, dia turut menarik telinga Syamir dari dalam sekolah sehingga ke luar sekolah.
“Dia juga melempang Syamir sebanyak dua kali sehingga terhantuk kepala di dinding sekolah. Dia juga ada mengugut jika warden atau guru datang, dia akan memukul Syamir di hadapan mereka,” katanya yang kemudian tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada pukul 3.45 petang tadi.
Katanya, dia berbuat demikian kerana khuatir dengan keselamatan anak jagaan di masa akan datang.
“Saya datang ke balai buat laporan kerana mahu tindakan selanjutnya dan bimbang keselamatan anak jagaan saya,” katanya.
Sementara itu, polis turut mengesahkan telah menerima laporan yang dibuat pengadu terbabit.
Terdahulu, tular hantaran Facebook oleh pemilik akaun bernama Herman Sudil berhubung perbuatan didakwa dilakukan lelaki tersebut dan dia turut menyatakan, mangsa merupakan anak yatim sebuah pusat jagaan dihantar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. – KOSMO! ONLINE