PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berterusan difitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab meskipun di bulan Ramadan.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, pihak terbabit menabur fitnah tanpa henti dengan berbagai siri dan cerita lapuk yang diulang-ulang.
Kata beliau, memanjangkan fitnah terutama di bulan Ramadan merupakan serendah-rendah akhlak dan ditegah keras oleh Islam.
“Ini menunjukkan keterdesakan pihak-pihak ini untuk cuba mempengaruhi minda masyarakat serta kontangnya idea mereka dalam usaha membangun negara.
“Namun, kita akan terus memantau rapat agar ia tidak akan sesekali menggugat serta melemahkan semangat serta niat kita dalam menjamin kesejahteraan pada negara dan rakyat,” katanya pada sidang akhbar harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini. – KOSMO! ONLINE