PETALING JAYA – Sebanyak 25 peratus mangsa banjir tahun 2024 tidak membuat sebarang persediaan, yang mungkin meningkatkan risiko kesukaran semasa dan selepas kejadian banjir.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, manakala 45 peratus mangsa banjir pula bersedia menghadapi bencana dengan menyimpan stok keperluan harian bagi memastikan kelangsungan hidup dalam tempoh kecemasan.
“Sebanyak 17 peratus mangsa banjir mengambil langkah perlindungan dengan mencarum insurans sebagai jaminan kewangan sekiranya berlaku kerosakan atau kerugian manakala kurang daripada 0.1 peratus memilih untuk tidak mencarum insurans.
“Berdasarkan kajian kes yang dijalankan juga, sebanyak 65 peratus mangsa banjir menerima bantuan dalam tempoh 48 jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Uzir berkata, banjir tahun 2024 memberi impak yang cukup besar kepada ekonomi negara, dengan majoriti kerugian tertumpu kepada tempat kediaman, infrastruktur awam dan pertanian.
Beliau berkata, Kelantan, Terengganu dan Kedah mengalami kerugian yang paling ketara, terutama pada tempat kediaman dan premis perniagaan, sementara kerugian kenderaan dan pembuatan hanya mengalami kerosakan yang sederhana.
“Data ini memperlihatkan hubung kait risiko ekonomi rentetan banjir yang sering berulang serta keperluan untuk memperkukuh daya tahan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana ini.
“Oleh itu, langkah kehadapan, usaha mempertingkatkan infrastruktur, menambah baik sistem pertahanan banjir, dan mengoptimumkan peruntukan sumber perlu diberi keutamaan bagi mengukuhkan lagi daya tahan serta kestabilan ekonomi negara untuk jangka masa panjang,” katanya.
Mohd. Uzir turut memaklumkan bahawa dalam kaedah pengumpulan data, Jabatan Perangkaan (DOSM) menjalankan temu bual bersemuka di kawasan terjejas menggunakan soal selidik, selain melakukan pemerhatian serta temu bual melalui telefon.
Menurut beliau, DOSM juga menggunakan data pentadbiran daripada pelbagai agensi, termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
“Selain itu DOSM juga menggunakan data daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah, Pusat Pemindahan Sementara, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, dan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO).
“Pendekatan berasaskan pelbagai sumber ini membolehkan DOSM memperoleh data yang lebih komprehensif,” katanya. – KOSMO! ONLINE