RANTAU PANJANG – Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebanyak 10,500 anak pokok durian, sentul dan cempedak yang sudah dijangkiti penyakit bernilai lebih RM1 juta selepas menahan sebuah lori di Taman Wahyu di sini kelmarin.
Lori jenis Isuzu itu ditahan kira-kira pukul 2.30 petang semasa anggota PGA menjalankankan Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, pemeriksaan di dalam lori itu membawa kepada penemuan sebanyak 450 anak pokok durian, 600 anak pokok sentul dan 9,000 anak pokok cempedak.
Menurutnya, tanaman tersebut disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit.
“Pemandu lori yang berusia 40 tahun itu dipercayai berperanan sebagai penghantar tanaman tersebut ke pasaran tempatan.
“Nilai rampasan termasuk sebuah lori dianggarkan bernilai RM1.15 juta. Pemandu lori dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) Seksyen 5. – KOSMO! ONLINE