BANGKOK – Seorang wanita hilang tangan kiri selepas bajunya tersangkut pada roda motosikal dalam kemalangan di wilayah Songkhla, selatan Thailand, lapor Thaiger semalam.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kemalangan itu tular di platform media sosial.
Rakaman CCTV memaparkan mangsa dikenali sebagai Sudarat Taeng Waranakhon, 55, membonceng motosikal saudara lelakinya.
Kemalangan berlaku apabila hujung baju Sudarat berkibar-kibar ditiup angin sebelum ‘terbelit’ pada roda belakang motosikal, menyebabkan dia terjatuh dari kenderaan dua roda itu.
Menurut saksi kepada agensi berita Hatya, Sudarat menjerit menyebabkan saudara lelakinya memberhentikan motosikal.
Tangan kiri wanita itu putus selepas tersangkut pada roda motosikal dengan saksi menghubungi pasukan penyelamat yang kemudian menghantar mangsa ke Hospital Hat Yai.
Menurut laporan media, doktor tidak dapat menyambung semula tangan mangsa yang hancur dalam kejadian tersebut. – AGENSI