PETALING JAYA – Adik anggota bomba yang lemas ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong tujuh tahun lalu meneruskan legasi arwah abangnya menyarung uniform wira merah.
Pegawai bomba, Intan Norhafiza Wan Ibrahim iaitu adik Allahyarham Izatul Akma Wan selesai menjalani latihan dan rekrut di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang di Terengganu.
Hantaran video TikTok BombaMalaysiaOfficial turut memaparkan suasana sayu selepas Intan Norhafiza berjaya menamatkan latihan sebelum diraikan dalam satu majlis baru-baru ini.
“Hari ini menjadi saksi warisan perjuangan yang terus bernafas kepahlawanannya. Allaharham Izatul Akma Wan Ibrahim mengalir jua dalam nadi adindanya.
“Seorang daripada enam wira merah yang gugur dalam operasi menyelamat mangsa lemas di Puchong, Selangor pada 2018.
“Hari ini pegawai bomba Intan Norhafiza Wan Ibrahim melangkah srikandi wira merah dan meneruskan legasi abang beliau,” kata hantaran itu.
Menerusi video itu, kelihatan Intan Norhafiza sebak sehingga menggenggam pakaian pegawai bomba wanita, malah dia menangis bersama ibunya yang berkerusi roda.
Pengguna media sosial turut meninggalkan komen sebak, terharu dan berbangga dengan Intan Norhafiza kerana meneruskan legasi arwah abangnya sebagai pegawai bomba.
“Tak boleh tahan saat dia genggam baju pegawai di sebelah dia,” komen seorang individu.
“Hebat, tapi hebat lagi si ibu yang mampu melihat anak perempuannya terus berkhidmat dalam bomba walaupun kehilangan anak dalam kerjaya sama,” kata seorang pengguna TikTok lain.
“Saya ingat pegawai bomba datang ke rumah salah seorang anggota yang terlibat. Ketukan pintu di awal pagi itu, saya sangat ingat. Tak lama lepas salam dijawab, hanya suara menangis yang saya dengar. Esoknya dimaklumkan dalam WhatsApp group flat, kejadian ni. Bila teringat balik, sayu sangat pagi tu,” komen individu lain.
Dalam kejadian pada 3 Oktober 2018, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bomba lemas selepas dipercayai terbelit dengan tali antara satu sama lain selepas arus di lokasi pencarian terlalu kuat sehingga mereka gagal menyelamatkan diri.
Selain Izatul Akma yang ketika itu berusia 32 tahun, lima lagi yang meninggal dunia ialah Mohd Fatah Hashim, 34, Mazlan Omar Baki, 25, dan Yahya Ali, 24 dari PPDA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang.
Dua mangsa lain, Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, dan Adnan Othman, 33, dari PPDA BBP Shah Alam.
Enam bomba tersebut lemas sewaktu melakukan SAR seorang remaja lemas, Muhammad Ilham Fahmy Mohd. Azzam, 17, di sebuah lombong di Taman Putra Perdana Puchong. – KOSMO! ONLINE
@bombamalaysiaofficial Jgn lupa gais!! follow ramai ramai Acc Rasmi Bomba Malaysia okey! #foryoupage #fypシ゚viral #bombamalaysia #fyp #bombamalaysiaofficial ♬ Dj Viral Ingin Ku Teriak Bilang I Love You – MR STRONG CSS