fbpx

Ternakan rusa sambar elak harimau masuk kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad (tengah) memberi makanan kepada rusa sambar yang diternak untuk dijadikan makanan harimau di PKHL Gua Musang hari ini. FOTO AIMUNI TUAN LAH/ KOSMO!

GUA MUSANG – Projek naik taraf Fasiliti Pembiakan Spesies Mangsa Untuk Harimau Malaya yang menelan kos RM3.32 juta di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) di sini dijangka siap Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek terbabit merupakan salah satu usaha Kerajaan Pusat dalam membantu menangani isu konflik manusia dan haiwan liar.

Menurutnya, ia merupakan salah satu usaha bagi membekalkan haiwan atau makanan kepada Harimau Malaya supaya tidak lagi masuk ke kawasan perkampungan untuk mencari makanan.

“Justeru, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang giat melaksanakan tempat pembiakan rusa sambar milik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

“Projek seluas 38 hektar dengan kos kontrak bernilai lebih RM3 juta itu sudah bermula pada 29 Julai tahun lalu kini sudah mencapai status kemajuan projek sebanyak 21 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konservasi Hidupan Liar Gua Musang di sini hari ini.

Ahmad memberitahu, skop projek tersebut melibatkan penyediaan pagar perimeter luar ‘cyclone’ dan ‘barbed wire’ sekeliling sempadan kawasan.

Menurutnya, penyediaan kawasan berpagar ‘cyclone’ bagi 21 lantai termasuk laluan rusa yang melibatkan kerja perobohan pagar lantai rusa sedia ada, pembinaan menara tinjau dan 47 unit tempat menyembunyikan anak rusa.

“Kemudahan asas lain seperti fasiliti penyimpanan makanan, palung minuman, tandas, rumah pam selain kerja-kerja mekanikal dan elektrikal turut dibina.

“Saya difahamkan, kawasan itu mampu menempatkan sebanyak 150 ekor induk rusa sambar apabila ia siap kelak. Ia melibatkan kadar kelahiran sebanyak 50 ekor setahun berbanding sekarang kadar kelahiran antara satu hingga dua ekor setahun.

“Rusa sambar ini akan dilepas ke habitat asal mereka untuk dijadikan makanan kepada Harimau Malaya yang secara tidak langsung membantu menyelesaikan konflik manusia dan haiwan liar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI