JITRA – Kerajaan negeri melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir penduduk negeri ini yang membuang sampah merata-rata ketika berbuka puasa di Dataran Medan Bandar di Alor Setar, dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu tidak seharusnya menjadi amalan apatah lagi ketika bulan Ramadan yang mulia ini.
“Saya tahu ada tong sampah disediakan di kawasan itu tetapi kecil berbanding mereka yang ramai berbuka puasa di dataran tersebut, jadi lebih bagus bawa balik sampah itu. Bukan banyak sangat.
“Janganlah berharap kepada pihak lain seperti E-Idaman yang membersihkan sampah yang anda buang merata-rata. Samalah kita membantu menjaga kebersihan kawasan itu apatah lagi ketika ini Tahun Melawat Kedah 2025,” katanya.
Beliau mengulas tentang penularan di media sosial tentang dataran tersebut yang dipenuhi sampah sarap dipercayai dibuang oleh mereka yang berbuka di kawasan tersebut.
Selain itu pekarangan Masjid Zahir yang terletak di hadapan dataran tersebut turut menerima nasib sama apabila banyak sampah dibuang merata-rata sehingga mengakibatkan jawatankuasa majlis berkenaan bergotong-royong membersihkannya.
Mengulas lanjut, kebenaran bagi orang ramai untuk berbuka puasa di kawasan berkenaan adalah sebagai mengimarahkan Ramadan selain merancakkan program Tahun Melawat Kedah 2025.
“Banyak yang minta PBT buka kawasan itu untuk dijadikan tapak berbuka puasa. Semua boleh datang berbuka beramai-ramai bersama keluarga. Bila kita buat jadi macam ini pula.
“Saya akan berbincang dengan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) untuk melihat apa yang boleh kita lakukan untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE