fbpx

Stor haram LPG diserbu, 608 tong gas bersubsidi dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KPDN ketika melakukan serbuan di sebuah premis stor haram di Jalan Kampung Jawa, Shah Alam, Jumaat lalu. Foto KPDN

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam serbuan di sebuah stor haram di Jalan Kampung Jawa, Shah Alam, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan dilakukan hasil risikan selama tiga minggu oleh KPDN Putrajaya.

Katanya, serbuan yang dilakukan pada pukul 7 malam itu berjaya menahan empat individu termasuk seorang warga asing berusia antara 25 hingga 45 tahun merupakan pekerja di premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis ini dijadikan stor haram untuk menjalankan aktiviti pemindahan LPG bersubsidi yang digunakan untuk isi rumah ke dalam tong LPG berkapasiti 50 kilogram (kg) bagi kegunaan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebanyak 608 tong LPG bersubsidi melibatkan rampasan 5,864 kg gas bernilai RM14,565 disita selain beberapa peralatan pemindahan LPG dan tiga buah lori yang digunakan dalam kegiatan itu.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan melebihi RM200,000,” katanya.

Katanya, premis berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan lalu.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“KPDN akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menyeleweng barang kawalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azman memaklumkan, sebanyak 269 kes dihasilkan menerusi pelaksanaan Op Tiris 3.0 bagi tempoh 1 Januari 2024 sehingga 28 Februari lalu membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM1.64 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI