fbpx

Remaja lelaki tikam penuntut IPT direman 6 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek kes tikam penuntut perempuan sebuah IPT dekat Sungai Petani direman selama enam hari bermula hari ini.

SUNGAI PETANI – Seorang remaja lelaki yang disyaki menikam penuntut perempuan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) sehingga cedera parah pada semalam direman enam hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Sungai Petani, M. Kalairasi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

Proses reman dilakukan di HSAH kerana suspek masih mendapatkan rawatan di bawah pengawasan polis akibat kecederaan dialami akibat bergelut dengan mangsa yang dikatakan teman wanitanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, suspek akan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda selepas dibenarkan keluar dari hospital.

Sementara itu, hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 19 tahun mengalami kecederaan akibat tikaman di beberapa bahagian belakang badan dan leher.

“Kita akan merekod keterangan daripada mangsa selepas ini serta beberapa saksi di tempat kejadian,” tambahnya.

Difahamkan, mangsa telah dipindahkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Bandar Perda, Pulau Pinang oleh keluarganya malam tadi untuk rawatan lanjut.

Kosmo! semalam melaporkan seorang penuntut perempuan sebuah IPT cedera parah dipercayai akibat ditikam kenalan lelaki yang tidak berpuas hati apabila hubungan mereka berakhir dalam kejadian di kampus IPT itu dekat sini.

Mangsa dikatakan dihampiri suspek yang didakwa bekas teman lelakinya sebelum bertindak menikam belakang badan mangsa sehingga rebah sebelum dikejarkan ke HSAH untuk rawatan lanjut.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI