JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Gresik, wilayah Jawa Timur resah dengan khabar angin yang mengatakan bahawa kelibat pocong dilihat di berbilang lokasi, lapor laman berita Detik.
Menurut penduduk Kampung Glatik, entiti didakwa pocong sering muncul di bumbung rumah, bawah pokok dan sekitar rumah kosong.
Ia membuatkan penduduk resah dan takut untuk melakukan aktiviti harian pada waktu malam.
Bagaimanapun, Ketua Polis Ujungpangkah, Inspektor Suwito Saputro kemudian tampil menjelaskan bahawa berita itu adalah palsu dan tidak berasas.
“Saya mengesahkan bahawa berita itu adalah palsu. Ia tidak benar,” katanya.
Tambah Suwito, beliau sudah meminta anggotanya menyiasat laporan penduduk dan membuat rondaan di lokasi-lokasi yang didakwa pocong kerap muncul.
“Kami sudah memeriksa bersama ketua kampung dan ketua daerah, selain anggota polis turut membuat rondaan. Ternyata, tiada (penampakan) sama sekali,” katanya.
Ketua Kampung Glatik, Mohammad Shokhiyan kemudian mengesahkan perkara itu dan menasihatkan penduduk agar tidak mempercayai khabar angin tersebut.
“Saya sudah bertemu dengan penduduk yang didakwa melihat pocong. Setelah bertanya, dia mengaku sebenarnya tidak melihat pun (pocong),” katanya. – AGENSI