PETALING JAYA – Perkhidmatan permohonan ansuran bayaran baki cukai atau tunggakan cukai secara dalam talian melalui e-Ansuran boleh diakses menerusi Portal MyTax mulai 5 Mac lalu.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan berkata, inisiatif tersebut bertujuan memudahkan pembayar cukai mendapatkan kelulusan secara automatik tanpa memerlukan sebarang dokumen sokongan.
“Pembayar cukai yang memenuhi kriteria yang ditetapkan layak memohon perkhidmatan e-Ansuran, antaranya jumlah amaun permohonan mestilah melebihi RM300, jumlah bilangan ansuran antara dua hingga enam kali sahaja serta hanya melibatkan ansuran cukai pendapatan termasuk sebarang kenaikan yang berkenaan,” katanya hari ini.
Bagaimanapun, LHDN menjelaskan bahawa permohonan tidak boleh dibuat sekiranya terdapat ansuran lain yang masih berkuat kuasa.
Ujarnya, pembayar cukai boleh mengakses perkhidmatan e-Ansuran dengan log masuk ke portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my dan memilih peranan yang berkaitan sama ada sebagai individu, pengarah atau wakil pengarah.
Katanya, sebarang pembatalan permohonan e-Ansuran hanya boleh dilakukan di pejabat LHDN.
“LHDN komited menyediakan kemudahan pembayaran cukai yang lebih fleksibel dan mesra pengguna.
“Pelaksanaan e-Ansuran ini diharap dapat membantu pembayar cukai menunaikan tanggungjawab percukaian dengan lebih mudah dan teratur,” jelasnya.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 (dalam negara) atau 603-8911 1000 (luar negara), melalui HASiL Live Chat atau menerusi borang maklum balas di portal rasmi di https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/. – KOSMO! ONLINE