SEREMBAN – Malaysia bersedia menerima 15 tahanan atau pejuang Palestin yang dibebaskan Israel sebagai usaha pendamaian di bawah Perjanjian Gencatan Senjata Gaza dalam masa terdekat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penerimaan itu adalah sebagai tanda sokongan negara bagi menjayakan salah satu syarat perjanjian gencatan senjata yang mana pejuang Palestin yang dibebaskan tersebut tidak boleh pulang ke Gaza.
“Kita sedang menghantar pasukan untuk melihat siapa (tahanan) yang dipilih untuk datang ke sini, bukan sahaja Malaysia tetapi Turkiye mengambil ratusan orang, begitu juga Pakistan dan Indonesia mengambil sebahagiannya yang merupakan negara-negara di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Segala dokumentasi akan diselesaikan dan kita akan bawa mereka ke Malaysia, namun di mana mereka akan ditempatkan akan ditentukan kemudian,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Khatam Al-Quran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO) di sini hari ini.
Menurut Mohamad, kemasukan tawanan Palestin itu akan mengguna pakai konsep kemasukan pelarian Syria ke negara ini yang telah dilaksanakan sebelum ini.
Jelasnya, walau apapun tuduhan terhadap tahanan perang Israel itu, negara melihat mereka sebagai pejuang kebebasan untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Palestin yang dijajah.
“Syarat-syarat gencatan senjata sementara tempoh hari yang dibuat atas inisiatif kerajaan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat mengatakan jika tahanan ini dibebaskan, mereka tidak boleh pulang ke Gaza atau kampung halaman.
“Jadi kita setuju dengan cadangan itu, asalkan kita nak satu gencatan senjata (diteruskan). Hamas membebaskan tahanan perang dia (rakyat Israel) dan Israel membebaskan orang-orang Palestin yang ditahan tanpa bicara sampai 20 tahun, ada sampai 70 tahun sejak berusia 20 tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE