LEICESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mengakui bahawa pasukannya masih jauh daripada standard yang ditetapkannya biarpun berjaya mencatat kemenangan kedua dalam tempoh empat hari.
United berjaya meraih kemenangan 3-0 ke atas Leicester di Stadium King Power awal pagi semalam selepas mengesahkan tempat ke suku akhir Liga Europa apabila membenam Real Sociedad sebelum ini.
“Kami masih jauh daripada apa yang dijangka oleh peminat dan layak diterima mereka, jadi saya tidak mahu berasa selesa dengan kemenangan ini. Kami mahu memenangi perlawanan dan meningkatkan gaya permainan.
“Persembahan kami semakin baik, apabila keputusan diperoleh positif, sudah pasti kami semua akan lega. Kali ini, ada beberapa pemain yang kurang menyerlah mungkin kerana penat selepas aksi menentang Sociedad sebelum ini.
“Saya melihat pemain semakin faham mengenai cara untuk memberikan tekanan. Kami mencipta banyak peluang dan meledak banyak gol. Kami semakin meningkat dalam banyak aspek,” katanya.
Pada aksi tersebut, Rasmus Hojlund menamatkan kemarau jaringan apabila mencetak nama selaku penjaring selepas kali terakhir melakukannya pada 7 Disember lalu apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-28.
Sementara itu, ketua pasukan, Bruno Fernandes berjaya meledak satu gol dan mencipta dua umpanan gol, manakala satu lagi gol United berjaya disumbangkan oleh Alejandro Garnacho.
Bagaimanapun, United terpaksa membayar mahal harga kemenangan apabila pemain pertahanan mudanya, Ayden Heaven berdepan kecederaan buku lali sehingga terpaksa diusung keluar. – AGENSI