SEREMBAN – Dua kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan didakwa atas dua pertuduhan menggunakan invois dan dokumen palsu berkaitan perkhidmatan fotografi serta promosi media sosial bagi perlumbaan motorcross Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Zon Selatan 2022.
Tertuduh, Pegawai Belia dan Sukan, Rosdi Pilus, 50, dan Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Mohd. Saiful Abdul Talib, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, mereka telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu invois perkhidmatan fotografi, dokumentasi dan promosi media sosial bagi perlumbaan motorcross KBS Zon Selatan 2022 bertarikh 9 dan 13 Februari 2023 atas nama Ad Suria Enterprise keseluruhan berjumlah RM4,000.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan di Seremban pada Februari hingga Mei 2023.
Sementara itu, di kamar mahkamah sama, Mohd. Saiful tidak mengaku bersalah atas empat lagi pertuduhan menggunakan dokumen palsu iaitu resit perkhidmatan pas petugas dan resit bayaran air mineral keseluruhan berjumlah RM1,133.60 bertarikh 10 hingga 12 Februari atas nama Puncak Pateh Enterprise dan Riang Tinggi Enterprise.
Mahkamah membenarkan Mohd. Saiful dijamin RM5,000 bagi empat pertuduhan tersebut.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 April depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE