KUALA LUMPUR – Busana @ Menara Mara bekerjasama dengan Mads Karnival untuk menyediakan satu destinasi istimewa bagi usahawan tempatan khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana serta yang bersaiz mikro menjual pelbagai keperluan hari raya.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc), Faizul Idzhar berkata, kempen jualan tersebut bertemakan Pesona Raya Bersama Oyen: Perjalanan Meriah Bersama Si Oyen yang menerapkan budaya, keceriaan dan tradisi dalam suasana penuh berwarna-warni.
Menurut beliau, bersempena Aidilfitri tahun ini, pihaknya mencari kelainan dengan menampilkan maskot kucing oren yang comel iaitu Si Oyen yang membawa keceriaan dengan tema batik yang unik.
“Pengunjung akan disajikan dengan dekorasi batik yang memukau, promosi istimewa, pameran seni kraf tempatan, serta pelbagai aktiviti menarik yang menjadikan pengalaman membeli-belah lebih bermakna,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Busana @ Menara Mara, adalah sebuah pusat beli-belah lima tingkat yang dikendalikan oleh Mara Inc., sebuah anak syarikat Mara Corporation yang dimiliki oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Premis yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini mula ditubuhkan pada tahun 2008.
Faizul menerangkan, ruang legar utama dan laluan berbumbung Busana @ Menara Mara turut dihiasi dengan elemen batik yang diinspirasikan daripada warisan tradisional, mencipta suasana perayaan yang penuh kehangatan dan kemeriahan.
Selain itu, Bazaar Glam Raya yang berlangsung di Medan Mara pula menampilkan vendor fesyen, aksesori dan kuih raya yang membawa aura eksklusif tetapi mampu milik kepada pengunjung yang ingin tampil bergaya sepanjang musim perayaan ini.
Tambah beliau, lebih daripada 60 reruai jualan yang menawarkan pakaian hari raya, tudung, songkok, aksesori, biskut raya, beg tangan, kasut dan banyak lagi manakala Bazar Ramadan & Street Cafe pula menawarkan jualan makanan berbuka puasa yang terdapat di sekitar Busana @ Menara Mara, Street Cafe dan juga Medan Mara.
Pusat beli-belah itu turut menawarkan hadiah eksklusif lebih RM5,000 kepada pelanggan sebagai menghargai kesetiaan pelanggan terhadap penganjuran programnya kali ini. -KOSMO! ONLINE