KLUANG – Tular beberapa keping gambar tangkap layar rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) insiden dua beberapa kanak-kanak membaling objek ke arah jemaah ketika solat di Masjid Nurul Iman, Taman Sri Lambak di sini.
Menerusi gambar tersebut kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 10.18 malam, Ahad lalu ketika jemaah sedang solat sunat tarawih.
Tinjauan di ruang komen rata-rata pengguna laman sosial melahirkan rasa marah terhadap tindakan nakal kanak-kanak terbabit.
Haniff Nazimuddin berkata, ibu ayah kepada kanak-kanak tersebut perlu bertanggungjawab dengan anak masing-masing.
“Bukan diri sendiri sahaja nak dapat pahala, biar lepas bebas anak-anak tanpa kawalan. Bawa anak-anak solat di sebelah ibu atau bapa masing-masing, bukan isu putus saf atau najis ke apa tetapi demi kemaslahatan ummah,” tulisnya.
Sementara itu, Mohd. Kamarul Azlie Rahim memberi pendapat bahawa ahli jawatan kuada (AJK) masjid boleh mencetak gambar kanak-kanak nakal tersebut dan tampal di ruang kenyataan dengan notis amaran.
Katanya, langkah itu sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua terutamanya kanak-kanak yang bermain di dalam masjid supaya menjaga tingkah laku.
Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Nurul Iman, Mohidin Paidi bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan memanjangkan kes tersebut.
“Dahlah, cukuplah tak payah diulas panjang, ini kan bulan puasa,” jawapnya ringkas ketika dihubungi hari ini.-KOSMO! ONLINE