JAKARTA – Indonesia hari ini mula menghantar pulang lebih 500 rakyatnya yang dibebaskan daripada pusat-pusat penipuan(scam) online di Myanmar, kata beberapa pegawai.
Operasi penipuan siber yang berkembang pesat di sempadan Myanmar selama bertahun-tahun, mengumpan pekerja asing dengan janji pekerjaan bergaji tinggi tetapi menjadikan mereka tebusan dan dipaksa melakukan penipuan online.
Kira-kira 7,000 pekerja dari sekurang-kurangnya 24 negara dibebaskan sejak beberapa minggu lalu dengan majoriti mereka warga China, namun ramai lagi masih ditahan di kem-kem sementara di kawasan sempadan di antara Myanmar dan Thailand.
Seramai 400 rakyat Indonesia pulang dari Thailand hari ini dan sekurang-kurangnya 154 lagi akan menyusul esok, demikian menurut Menteri Koordinasi Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Budi Gunawan.
“Kerajaan Indonesia bekerja sama dengan kerajaan Thailand dan China untuk menyelamat dan menghantar pulang 554 rakyat Indonesia,” katanya dalam sidang akhbar di lapangan terbang antarabangsa di Jakarta
Kumpulan itu termasuk 449 lelaki dan 105 wanita yang menjadi mangsa operasi penipuan online besar-besaran di bandar Myawaddy dekat sempadan Thai, kata Budi.
“Mangsa-mangsa mengalami pelbagai tekanan dan keganasan fizikal seperti dipukul serta dikenakan renjatan elektrik.
“Akhir sekali mangsa-mangsa diugut bahawa organ mereka akan dikeluarkan,” tambahnya.
Semua rakyat Indonesia itu dihantar pulang melalui tiga penerbangan dari Bangkok selepas menyeberang ke Thailand dari Myanmar.
Penerbangan pertama membawa 200 rakyat Indonesia yang dibebaskan, mendarat di Indonesia pagi tadi.
Pihak berkuasa Indonesia sudah pun menghantar pulang 140 rakyatnya dari Myanmar melalui Thailand bulan lalu.
Antara tahun 2020 hingga September 2024, Jakarta menghantar lebih 4,700 rakyat Indonesia yang terperangkap dalam operasi penipuan dari negara-negara termasuk Kemboja, Myanmar, Laos dan Vietnam, demikian menurut data kementerian luar.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan sehingga 120,000 orang dengan ramai antara mereka lelaki China, dipercayai bekerja di pusat-pusat scam tanpa kerelaan mereka. – AFP