KUCHING – Tiga lagi premis memproses sisa elektronik (e-waste) di sini yang dipercayai beroperasi tanpa permit atau lesen yang sah daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) digempur, yang membawa kepada rampasan bernilai RM21.6 juta.
Tiga siri kejayaan itu adalah hasil daripada serbuan Op Hazard Sarawak yang dijalankan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak bersama-sama JAS Sarawak dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari pukul 10 pagi hingga 4 petang semalam.
Komander PGA Briged Sarawak Dr. Che Ghazali Che Awang berkata pasukan serbuan turut menahan tujuh lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang berusia antara 26 hingga 55 tahun, termasuk seorang lelaki warga asing berumur 37 tahun.
“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 525.45 tan komponen e-waste yang belum diproses, tiga buah kontena, tiga buah kenderaan berat serta lima buah mesin dan peralatan pelbagai jenis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM21.6 juta merangkumi nilai rampasan komponen e-waste yang belum diproses sebanyak RM14.69 juta, kenderaan berat bernilai RM2.4 juta, mesin dan peralatan pelbagai jenis bernilai RM3 juta serta lain-lain rampasan bernilai RM1.5 juta.
Che Ghazali berkata kesemua tangkapan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah yang terlibat manakala rampasan diserahkan kepada JAS Sarawak dan PBT yang terlibat untuk tindakan dan siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE