JOHOR BAHRU – Polis mengesan seorang lelaki yang menampar pemuda bukan Islam kerana makan di sebuah kedai serbaneka di sebuah pusat beli-belah di sini.
Lelaki itu bakal berdepan dengan hukuman penjara sehingga setahun dan denda RM2,000, sekiranya sabit kesalahan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kes itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Katanya, siasatan itu dibuat kerana lelaki tersebut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
“Polis terima aduan daripada mangsa berusia 21 tahun berhubung kejadian itu pada pukul 9.08 malam semalam. Pengadu memaklumkan dia telah ditampar sebanyak dua kali di pipi kanan oleh individu tersebut.
“Kejadian dipercayai berpunca apabila pengadu enggan memberikan kad pengenalan apabila diminta oleh lelaki tersebut selepas bertanya apa agamanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Balveer Singh meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi talian 07-5563122 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
Kes di Family Mart Angsana Mall, Johor Bahru:
Saya hanya makan secara biasa dan pak cik tu tanya saya orang Cina ke tak. Saya jawab ya sebab itu soalan biasa. Lepas tu dia nak saya tunjukkan IC saya walaupun kita tak boleh tunjuk IC kepada orang yang tidak dikenali.
(Bebenang) pic.twitter.com/qgnAOPLYH1— bingbingE656/Elijah 🇲🇾🍉 (@bingbinge656) March 16, 2025