KLANG – Enam individu direkodkan keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes samun di hub pengumpulan barangan sebuah syarikat kurier sehingga menyebabkan keugian RM46,000 di Meru di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, mereka terdiri daripada kakitangan hub tersebut yang berusia 21 hingga 30 tahun.
“Setakat ini, usaha mengesan suspek masih dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan tiga penjenayah bertopeng dan bersenjatakan parang nekad menyamun wang berjumlah RM46,000 di hab pengumpulan barangan sebuah syarikat kurier di Meru pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian pukul 12.36 tengah hari itu, kesemua suspek menaiki sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang menggunakan nombor plat palsu.
Kejadian samun itu berlaku ketika pekerja sedang mengira wang di premis tersebut. – KOSMO! ONLINE