WASHINGTON – Presiden Donald Trump sekali lagi tular selepas berpakaian seperti sedang bermain golf ketika menyaksikan serangan pertama Amerika Syarikat (AS) terhadap puak Houthi di Yemen, lapor akhbar Metro UK semalam.
Trump melancarkan ‘tindakan ketenteraan yang tegas dan berkuasa’ selepas militia Houthi menyerang Israel dan laluan perkapalan di Laut Merah.
Imej dikongsi oleh White House menunjukkan Trump sedang menonton serangan Washington sambil memakai kemeja polo (polo-T) dan topi tertera slogan ‘Make America Great Again’.
Kombo topi dan baju tersebut merupakan salah satu pakaian kegemaran Trump ketika bermain golf.
Laporan awal kementerian kesihatan militia Houthi mendedahkan, sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh di Sanaa dan Saada dalam dua serangan berasingan semalam.
Penasihat Keselamatan Negara White House, Mike Waltz berkata, pengeboman itu ‘membunuh beberapa pemimpin Houthi’. – AGENSI