PETALING JAYA – “Bunyi seperti latihan fizikal biasa, tapi realitinya? Boleh membawa kepada kegagalan buah pinggang akut yang ramai tidak tahu.”
Itu kenyataan oleh Public Health Malaysia (PHM) terhadap insiden sekumpulan pelajar dipaksa melakukan tekan tubi 200 kali sebagai tindakan untuk mendisiplinkan mereka dalam satu insiden buli di sekolah.
Menurut PHM, rhabdomyolysis berlaku apabila otot yang dipaksa bekerja secara berlebihan akan mengalami koyakan kecil atau pecah.
“Bila otot rosak, ia melepaskan bahan toksik seperti myoglobin ke dalam darah. Myoglobin ini adalah protein dari otot yang sangat pekat dan melekit.
“Ia kemudiannya menyumbat buah pinggang, menyebabkan kegagalan buah pinggang akut yang boleh mengancam nyawa,” kata kenyataan itu.
Tambah PHM, tanda-tanda bahaya selepas melakukan aktiviti fizikal ekstrem antaranya adalah, otot terasa sakit luar biasa, bengkak atau keras.
“Badan juga rasa lemah teruk hingga sukar bergerak selain air kencing gelap seperti teh. Ini semua tanda buah pinggang mula terjejas. Jika mengalami simptom ini selepas aktiviti fizikal berat, dapatkan pemeriksaan segera.
“Buli bukan sekadar penderaan mental, tetapi boleh menjadi penderaan fizikal yang membahayakan nyawa. Laporkan. Jangan berdiam diri,” tambah PHM.
Semalam Kosmo! melaporkan, polis menerima tujuh laporan kes buli membabitkan kira-kira 62 pelajar yang dilakukan pelajar senior di sebuah sekolah berasrama penuh di Teluk Intan, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd. Jali berkata, kejadian itu berlaku sekitar pukul 10 malam pada 8 Mac lalu, apabila pelajar tingkatan dua dan tiga dipanggil pelajar senior untuk melakukan tekan tubi sehingga 200 kali. – KOSMO! ONLINE