SUNGAI PETANI – “Saya bersyukur umur masih panjang, kejadian besi cerucuk konkrit tertusuk pada pipi hingga tepi kepala memang ngeri dan menakutkan kerana hampir meragut nyawa saya.”
Demikian kata buruh binaan, Azlan Mahmood 55, ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini hari ini.
Katanya, dia juga bersyukur kerana tidak mengalami kecacatan kekal kerana besi tersebut tidak terkena otak dan bahagian penting lain.
“Batang besi terakhir berjaya dikeluarkan oleh pasukan perubatan hospital, awal pagi semalam selama kira-kira dua jam. Doktor beritahu saya tidak mengalami komplikasi lain akibat kecederaan tersebut,” katanya yang tinggal di Jalan Jeniang, Gurun dekat sini.
Menceritakan semula kejadian, kata bapa kepada lima anak itu, dia baru sahaja mengambil upah membina penghadang longkang di lokasi kejadian di Kampung Bukit Hangus, Jeneri di Sik, dekat sini.
“Kelmarin merupakan minggu kedua saya bekerja di situ. Selepas selesai membancuh simen kira-kira pukul 9.30 pagi, saya menggunakan motosikal roda tiga milik seorang penduduk untuk mengambil pam air di kampung sebelah.
“Ketika menuruni jalan yang agak berbukit di situ, motosikal yang saya tunggang hilang kawalan sebelum terbalik ke tapak pembinaan menyebabkan besi cerucuk tertusuk ke bahagian pipi hingga kepala,” ujarnya yang bekerja berseorangan. – KOSMO! ONLINE