IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Perak tahun 2025 bersekali dengan majlis berbuka puasa di Masjid Sultan Azlan Shah di sini.
Keberangkatan baginda diiringi oleh Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Majlis bermula pada pukul 6.50 petang dimulakan dengan Tazkirah Khas Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Azmil Hashim, diikuti bacaan ayat al-Quran serta majlis tahlil dan doa selamat sebelum berbuka puasa.
Majlis turut diserikan dengan acara penyampaian bantuan Hari Raya Aidilfitri MAIPk tahun 1446H/2025M oleh Sultan Nazrin buat 42,825 penerima terdiri daripada asnaf, fakir dan miskin di seluruh Perak.
Dana zakat berjumlah RM12.84 juta itu diserahkan kepada penghulu mukim dari 12 daerah sebagai mewakili para penerima. – KOSMO! ONLINE