IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke bazar Ramadan Stadium Perak di sini kira-kira pukul 4.20 petang hari ini.
Dalam kunjungan tersebut, baginda berkenan melawat gerai-gerai di bazar berkenaan serta membeli beberapa juadah untuk berbuka puasa termasuk nasi beriani kambing, takoyaki, sate, apam balik, serunding, kuetiau goreng, air kelapa laut dan air longan.
Peniaga Chennai Biriyani, Muhammad Farhan Abdul Rahim, 33, berkata, dia tidak menyangka usahanya menggunakan pembesar suara berjaya menarik perhatian Sultan Nazrin untuk singgah ke gerainya.
Katanya, kesudian baginda singgah dan membeli lima bungkus nasi beriani kambing itu akan menjadi kenangan terindah untuknya yang pertama kali berniaga bazar Ramadan Stadium Perak.
“Bila lihat tuanku tiba, saya cuba ikhtiar guna pembesar suara untuk tarik perhatian baginda. Alhamdulillah, tuanku sudi singgah dan beli juadah yang dijual. Saya mahu tuanku rasa nasi beriani kami,” katanya.
Sultan Nazrin meluangkan masa kira-kira 20 minit di bazar Ramadan yang menempatkan 200 gerai dan lapan ‘food truck’ sebelum beredar. – KOSMO! ONLINE