PETALING JAYA – Polis masih mengesan seorang wanita yang didakwa merakam video Ismanira Ab Manaf bersama Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin di kawasan parkir motosikal Blok R Apartmen Idaman Damansara Damai, di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, wanita terbabit juga merupakan individu yang memuat naik video itu di dalam kumpulan WhatsApp, sebelum ia tular di media sosial.
“Kita sedang mengesan wanita yang terawal memuat naik video itu di dalam kumpulan WhatsApp.
“Selain itu, pemilik akaun media sosial yang turut memuat naik video tersebut baru-baru ini sehingga tular juga sudah tampil membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis menerima laporan daripada Ismanira berhubung satu rakaman video memaparkan dirinya bersama anaknya beberapa hari sebelum arwah ditemui meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor dilaporkan berkata, laporan itu diterima pihaknya pada 9 Mac lalu sekitar pukul 2.43 petang.
Menurutnya, tujuan pengadu membuat laporan adalah kerana merasakan keselamatan dirinya dan keluarga berada dalam keadaan terancam. – KOSMO! ONLINE