KUCHING – Polis menahan seorang lelaki kerana membaling mercun ketika menyaksikan perlawanan bola sepak antara Kuching City dan Selangor FC di Stadium Negeri, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.50 malam untuk siasatan di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
“Semasa penugasan jaga aman dijalankan, didapati seorang lelaki yang berada di tempat duduk penonton telah membaling objek ke arah balapan stadium dan berlaku bunyi letupan yang kuat disyaki mercun,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut meminta saksi kejadian untuk menyalurkan maklumat berkaitan dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-24444 atau berhubung dengan pegawai penyiasat jenayah, SM Kipli Jeman di talian 019-6784444.
Mohd. Farhan turut menasihatkan orang ramai yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak agar tidak membawa barang terlarang terutama bahan letupan. – KOSMO! ONLINE